ROMBONGAN SUKARELAWAN FLOTILLA KE MYANMAR DISAMBUT BEGIS RAKYAT MYANMAR

Setelah pelbagai halangan, kecaman, fitnah oleh orang yang tidak sebulu kononnya program untuk kepentingan politik. Hari ini sukarelawan dari Malaysia telah berjaya sampai ke kem pelarian Rohingya untuk memberi sumbangan kemanusian kepada pelarian Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari kekejaman Sami Buddha, Rakyat Myanmar yang beragama Buddha.

Berikut adalah artikel penuh dari sukarelawan ke Myanmar.

REGIM MYANMAR YANG TIDAK BERSAHABAT DENGAN FLOTILLA

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Rombongan misi bantuan kemanusiaan flotilla disambut dengan demonstrasi bantahan dan wajah cemberut oleh sekelompok demonstran Myanmar berkain sarung. Media massa di negara berdarah ini lebih sebulan memainkan pelbagai isu berkaitan dengan misi bantuan yang dianggap menceroboh masalah dalaman negara mereka.

"Food Flotilla for Myanmar" memicu perhatian antarabangsa apabila lebih 60 media antarabangsa berhimpun di pelabuhan, pelaporan mereka positif atau negatif tetap memberikan impak yang positif kepada umat Islam yang tertindas. Misi untuk mengejutkan masyarakat antarabangsa bahawa ada negara pariah yang sedang menindas rakyatnya dengan alasan agama dan etnik.

Penampilan bahasa badan dan guratan wajah pegawai-pegawai Myanmar jelas tidak bersahabat dengan anggota misi flotilla. Ada yang mengacungkan tangan kearah peserta-peserta misi yang melaungkan takbir. Wajah sombong itu memandang dengan penuh kebencian terhadap kapal yang menjadi lambang kemenangan usaha rakyat pelbagai negara untuk membantu saudara mereka Muslim Rohingya.

Peserta-peserta bahu membahu membantu mengangkat barang untuk diserahkan pada pihak berkuasa Myanmar dan mereka memberikan persetujuan untuk acara agihan barangan di Sitwea dipantau oleh wakil Malaysia. Perjalanan ke Chitaggong Bangladesh tertangguh hampir sehari kerana keadaan sungai Yanggon yang surut.

Rombongan flotilla telah mengadakan solat jumaat di atas kapal dan menurut Kapten Firdaus itulah solat kali jumaat kali pertama diadakan di atas Nautica Aliya. Khutbah jumaat dengan tajuk kewafatan Rasulullah SAW mengimbau kembali peristiwa penting sebelum kewafatan iaitu himpunan paling ramai dalam sejarah dakwah nabi iaitu haji widak, seterusnya peristiwa selepas kembalinya daripada haji widak sehingga kewafatan baginda. Jemaah solat jumaat diingatkan bahawa tanggungjawab membantu umat Islam ialah sebahagian arahan ar rasul SAW, qudwah yang dicintai dan menjadi keteladanan di sepanjang jalan dakwah.

Perjalanan ke Chittagong melalui jalan laut mengambil masa lebih tiga hari dan flotilla telah dihentikan oleh pihak keselamatan Bangladesh untuk diadakan perbincangan ditengah laut. Persetujuan dicapai untuk misi bantuan meneruskan bantuan ke Chittagong walaupun pada asalnya ada cadangan supaya misi flotilla terus ke Cox Bazaar melalui pelabuhan kecil dan pihak marin Bangladeh memberikan iringan keselamatan.

Tiba di Chittagong, rombongan flottila menghadapi muara sungai yang cetek, kelihatan kapal-kapal besar di atas beting pasir. Untuk memasuki ruang pelabuhan Chittagong seorang kapten tempatan menakhodai kapal Nautica Aliya yang dibina dengan kos 100 juta itu. Perbincangan terakhir akhirnya berlangsung di atas kapal diantara wakil Flotilla dengan pihak berkuasa Bangladesh. Pada asalnya mereka hanya mahu barang bantuan diturunkan dan relawan tidak dibenarkan ke kem pelarian, namun setelah asakan wakil flotilla maka merela bersetuju hanya 25 wakil turun untuk ke kem pelarian Cox Bazaar dan barangan diserahkan kepada IOM (International organization of migrant) dengan persetujuan pengagihan berikutnya dipantau daripada dekat oleh wakil-wakil Malaysia.

Ada relawan yang bersedih kerana tidak dapat mengagihkan sendiri barangan bantuan ke kem pelarian, namun pihak Bangladesh memberikan alasan -alasan keselamatan dalam kem yang juga berlaku infiltrasi daripada pihak agen Myanmar. Ustaz Tarmizi daripada MAPPIM menerangkan bahawa IOM mempunyai jadual pengagihan mingguan, maka NGO Malaysia mempunyai peluang untuk turun bersama mereka. Setiap barangan dihitung dan diaudit oleh IOM tentang tarikh lupus, produk halal dan sebagainya, mereka mempunyai reputasi yang baik dalam membantu pelarian-pelarian di seluruh dunia.

Misi Flotilla mencapai sasaran yang pertama iaitu menghebahkan pada dunia tentang sebuah sketsa kezaliman bumi Arakan yang digelar "Gaza Asia", media massa dalam dan luar negara melaporkan perkembangan misi pertama membantu muslim Rohingya dalam skala besar. Mesej yang jelas, semua negara umat Islam wajib bangkit membantu bukan menjadi pemerhati bisu. Matlamat membantu pengungsi melibatkan relawan Flotilla yang ramai separuh berjaya kerana halangan dua negara, Myanmar dan Bangladesh. Namun ini menjadi motivasi intrinsik kepada seluruh relawan dan NGO bahawa usaha membantu Muslim Arakan wajib diteruskan tanpa lelah, memberikan pencerahan kepada masyarakat, menggalang dana berterusan, turun ke medan dengan modus operandi khusus tanpa menghadapi karenah birokrasi dua buah kerajaan ini (saya tidak memperincikan di sini kaedah khusus ini, namun berjaya dilakukan dalam diam oleh beberapa NGO termasuk Muslim Care Malaysia). Dalam membantu muslim dipeta luka tertindas ini, abaikan penistaan dan kejian mulut manusia yang memang suka menghambur lancang kejian. Teruskan langkah membantu dan mendoakan muslim Arakan.

(Penulis ialah Pengarah Penerangan Muslim Care yang terlibat dengan misi Food Flotilla for Myanmar)

Catatan popular daripada blog ini

TUTORIAL MENGISI BORANG CUKAI E FILLING LHDN STEP BY STEP

ANAK PELAT ATAU LAMBAT BERCAKAP? JANGAN RISAU AMALKAN TIPS INI