ISTERI SIBUK BELAJAR, SUAMI SIBUK DENGAN KEKASIH BARU


SAYA TIDAK MENYALAHKAN ORANG KETIGA....SUAMI SAYA TETAP BERSALAH

►PENGALAMAN pahit yang saya lalui mungkin pernah dirasai oleh kaum wanita lain. Mustahil dalam sesebuah perkahwinan tidak pernah dilanda badai. Namun setiap masalah dapat mematangkan kita dalam berfikir dan bertindak. Saya tak salahkan kaum lelaki, malah ada kes tertentu para isteri sendiri menjadi ibu keladi pembawa masalah dalam rumah tangganya.

''Saya telah berkahwin selama 18 tahun. Dan sepanjang tempoh itu saya diuji sebanyak dua kali dengan kehadiran orang ketiga. Namun saya tidak menyalahkan pihak ketiga semata-mata, suami saya tetap bersalah dalam hal ini.'' Demikian cerita Nordilaila dalam emelnya.

''Kata pepatah ''bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Hakikat yang perlu diterima oleh setiap lelaki dan perlu dipercayai oleh setiap wanita adalahsecantik dan sebaik mana pun isteri yang sah dimiliki, lelaki tetap lelaki. Keinginan mereka untuk memiliki lebih daripada satu isteri untuk mewarnai hidupnya tetap tertanam dalam hati mereka.

''Sebagai isteri, saya cuba sedaya upaya menjadi isteri dan ibu yang baik, walaupun bukan paling sempurna kerana hanya Dia sahaja yang Maha sempurna.

''Telahan saya benar. Lapan tahun lepas, ketika saya sibuk menyiapkan ijazah sarjana muda atas permintaan suami, yang mahu saya terus maju, rupa-rupanya ketika itu dia sudah ada perancangan dalam hatinya, kerana dia sedang mengulit cinta dengan gadis berusia 22 tahun.

''Peristiwa itu tidak saya ketahui dan tidak terbongkar hinggalah cuti akhir semester, saya pulang ke rumah untuk berehat kebetulan saya diserang demam panas. Saya pulang dengan harapan suami dapat melegekan sedikit deman saya, malangnya suami tetap mahu keluar meninggalkan saya untuk berjumpa buah hati. Pelbagai alasan diberi membohongi saya.

''Walaupun demam, naluri seorang isteri memang kuat entah macam mana tergerak hati saya untuk melihat bil telefon. Saya nampak nombor yang amat popular sentiasa didail oleh suami saya ada antaranya berjumlah lebihi RM60 untuk satu panggilan. Cuba bayangkan berapa jam mereka berbual.

''Saya memberanikan diri mendail nombor tersebut. Dan tembelang suami saya pecah. Rasa kecewa dan hampa menyelubungi hati saya. Saya tanya suami apa silap dan salah saya, katanya saya tak buat silap apa pun. Habis mengapa main-main cinta dengan wanita lain?

''Selepas peristiwa itu sudah amat sukar untuk saya percayakannya lagi. Jiwa rasa terseksa. Namun demi anak-anak, saya teruskan juga perkahwinan ini walau hati terluka.

''Suami selepas mohon maaf dan berjanji dengan nama ALLAH dia tidak akan mengulanginya lagi. Selepas itu, dia meneruskan hidup seperti biasa, tanpa sedikit rasa bersalah.

Kenangan
''Selepas itu dunia saya aman seketika. Awal 2010, kami menerima berita gembira akan kehadiran seorang lagi cahayamata. Saat itu, saya mula melupakan apa yang telah suami saya lakukan sebelumnya. Di samping saya sentiasa berdoa moga saya mampu melupakan terus kenangan buruk itu. Dan amat penting suami insaf atas kecurangan yang dilakukannya.

''Tetapi entah mengapa ketika hamil itulah hati saya kembali merasa sangsi. Naluri seorang isteri memang tepat, walaupun saya cuba buang rasa sangsi itu jauh-jauh dari lubuk hati saya. Dan saya sentiasa ingatkan suami agar jangan ulangi perbuatan melukakan hati saya lagi.

''Rupa-rupanya saya diuji lagi. Saya jumpa beberapa gambar suami bersama rakan sekerja yang mencurigakan dalam facebooknya. Bila ditanya, suami menafikan.

''Ketika kandungan sarat tujuh bulan saya temui nota suami kepada rakan pejabatnya. Mereka berbalas- balas mencurahkan rasa cinta yang cukup mengguris hati saya.

''Saya mohon penjelasan, suami nafikan. Lihatlah, betapa butanya lelaki bila berdepan dengan cinta sedikit pun tiada rasa belas melihat isteri sedang sarat mengandungkan zuriatnya. Tapi akhirnya dia mengaku, hubungan mereka sudah lama akrab. Suami mengaku bila saya minta dia hubungi wanita tersebut. Perkataan 'sayang' lahir dari mulut suami memanggil kekasihnya. Cuba bayangkan perasaan saya ketika itu!

Saya mohon suami ke syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan perincian bil.

''Saya terkejut bila lihat dalam sebulan suami menghantar 840 sms seawal 6.40 pagi hingga 2 pagi keesokkan harinya kepada kekasihnya, berbanding 18 sms kepada saya sebulan.

Hati saya hancur berkecai. Saya rasa amat teraniaya. Kami mendapatkan nasihat Pejabat Agama dan ibu bapa, tetapi belum mampu menyakinkan saya bahawa suami benar-benar akan berubah.

''Secara jujur saya tidak takut untuk berpisah jika itu jalan terbaik buat kami. Namun dia tidak rela melepaskan saya dan mohon diberi peluang kerana selama hidup bersama, saya secara ikhlas menampung sebahagian besar perbelanjaan keluarga tanpa ungkitan.

''Saya rasa terlalu penat. Tapi demi anak-anak dan bayi yang bakal lahir, saya perlu kuat. Apa yang saya lakukan kini, berserah sepenuhnya kepada ALLAH S.W.T untuk perjalanan rumah tangga kami seterusnya kerana Dia-lah yang Maha Tahu apa yang telah, sedang dan akan berlaku. Apa yang jelas, saya hanya mahu bersama anak-anak yang menjadi sumber kekuatan saya. Untuk suami, saya hanya berserah kepadaNya moga dia bertaubat dan insaf.

''Kepada gadis-gadis yang asyik mengulit cinta dengan suami orang, satu sahaja pesanan saya apa yang anda lakukan hari ini mungkin akan anda lalui suatu hari nanti kerana anda akan berkahwin, jadi seorang isteri dan ibu. ALLAH itu Maha Adil.

Sumber : Utusan Malaysia

Catatan popular daripada blog ini

TUTORIAL MENGISI BORANG CUKAI E FILLING LHDN STEP BY STEP

ANAK PELAT ATAU LAMBAT BERCAKAP? JANGAN RISAU AMALKAN TIPS INI